Saturday, August 29, 2015

Tips Melatih Anak Suka Bangun Pagi

Pagi2 mulalah bising satu rumah untuk kejutkan Kak Yaya pergi sekolah. Sebelum nie macam elok je pagi2 dia bangun tidur. Akhir2 nie, Kak Yaya macam susah sangat nak bangun tidur. Macam2 alasan yang diberi. Ngantuk lah..pening kepala la..macam2..apa yang saya lihat, Kak Yaya seronok pergi sekolah tapi liat nak bangun pagi je.

Sambil2 habiskan waktu rehat dihari Jumaat yang panjang nie, saya blogwalk sekejap cari tips2 berguna kot2 boleh membantu saya atasi masalah Kak Yaya yang liat bangun pagi nie.

Antara tips yang saya jumpa:

PERSEDIAN SEBELUM TIDUR.

(1) Seeloknya makan malam lebih awal supaya anak-anak boleh tidur lebih awal. Makan malam yang lewat dan berat sebelum waktu tidur boleh menggangu tidur dan membuatkan anak anda lebih susah untuk bangun di pagi hari.
(2) Hadkan penggunaan gadjet mahupun televisyen yang boleh melekakan anak-anak sehingga berjaga ke larut malam.
(3) Siapkan juga kelengkapan untuk esok pagi seperti kerja sekolah, alatulis, pakaian sekolah, beg sekolah dan sebagainya dengan lebih awal. Bila semua sudah sedia, urusan pada waktu pagi insyaAllah akan berjalan dengan lebih lancar.

TIDUR DENGAN BAHAGIA
(1) Berikan motivasi sebelum tidur.Cetuskan keghairahan dengan cerita-cerita untuk menaikkan semangat mereka untuk seronok pergi ke sekolah. Beri dorongan dengan menjelaskan bahawa guru-guru dan kawan-kawan pasti tertunggu-tunggu kehadiran mereka di sekolah esoknya. Dan guru-guru suka siapa yang datang awal pagi ke kelas.
(2) Sebelum tidur, pesanlah untuk mereka baca doa sebelum tidur beserta surah 3 Qul.
(3) Elakkan konflik sebelum tidur. Jika ada, selesaikan dengan segera. Pujuk anak dan terus bermaaf-maafan. 
(4) Berikan pelukan dan ciuman pada si manja sebelum mereka tidur. Pastikan mereka tidur dalam keadaan gembira dan mencium tangan ibu ayah terlebih dahulu sebelum mereka lena dibuai mimpi.
(5) Ketika mereka dalam zon separa sedar (tidur-tidur ayam), selitkan juga doa ibu ayah dan programkan minda si manja untuk mereka mudah bangun awal untuk ke sekolah.
(6) Pastikan anak-anak tidur dalam suasana aman, jauh dari gangguan dan kebisingan. 

KEJUTKAN DENGAN KASIH-SAYANG
(1) Beri salam kepada anak yang sedang tidur. Gunakan nada suara yang lembut, bukan suara yang tinggi seperti, “Assalamualaikum anak soleh. Bangun sayang, anak ibu ni suka bangun awal”.
(2) Gerakkan mereka dengan sopan, bukan agresif. Sentuh hujung ibu jari kaki mereka dan goyang perlahan-perlahan. (3) Jangan direntap ibu jari kaki mereka, kelak mereka menyimpan dendam.
(4) Elakkan mengetuk pintu bilik mereka dengan keterlaluan sehingga menyebabkan anak bangun keadaan terkejut dan ketakutan.
(5) Kejutkan anak secara berperingkat. Jangan memaksa mereka. Jangan terus disimbah air ke atas mereka.
(6) Panggil nama mereka dengan lembut dan teruskan menggoyang kakinya. Jika masih belum bangun, kuatkan sedikit suara dan goyang badannya. Teruskan memanggil namanya dan panggillah panggilan yang baik. Kejutkannya sambil memujinya : “Bangun sayang, anak umi yang baik, anak umi yang soleh, anak umi yang rajin. Anak ummi ni senang bangun. Ummi kejut, terus bangun.”
(7) Sebaik saja anak bangun, terus berikan anak anda ganjaran ciuman dan pelukan supaya timbul rasa gembira pada diri mereka untuk bangun tidur. Usap kepalanya sambil bercakap dengan lembut agar si manja terus mandi, solat subuh dan bersegera ke sekolah untuk menjadi anak yang bijak pandai.
(8) Berilah ganjaran dari sudut pujian dan galakan apabila si manja memberikan kerjasama yang baik untuk bangun tidur di awal pagi sebelum ke sekolah. Hargailah setiap perkembangan mereka, teruskan mendorong dan berdoa.


Dari sudut segi psikologi, jika seorang anak itu dikejut dengan herdikan atau pukulan, maka minda separa sedar akan diaktifkan sedikit demi sedikit untuk membenci dan berdendam dengan orang yang membangunkan itu. Seandainya rutin setiap dinihari kita mengejutkan anak-anak dengan cara yang kurang beradab, maka sebenarnya kita telah menyalakan api kebencian yang bahaya dalam minda separa sedar anak itu. 

Oleh itu, elakkanlah perbuatan yang DILARANG sewaktu mengejutkan anak bangun dari tidur seperti :

1. DILARANG meninggikan suara.
2. DILARANG menggunakan kata-kata kesat atau makian.
3. DILARANG menepuk dengan pukulan kasar atau kuat.
4. DILARANG menyimbah air.
5. DILARANG membebel berterusan tanpa henti.

Jom bersama2 saya mendisiplin anak2 dengan cara yang berhemah.

Semoga bermanfaat untuk ibu2.





No comments:

Post a Comment

AddThis